Friday, February 11, 2011

DUTA CERITA KESUKARAN MENGESAN 11K RAKYAT MALAYSIA DI MESIR.

Dengan hanya tujuh tenaga kerja, Kedutaan Malaysia di Kaherah berdepan misi sukar memantau dan mengesan lebih 11,000 rakyat Malaysia di Mesir bagi membolehkan proses evakuasi dilakukan.

Dalam usaha mencari itu, mereka sanggup melanggar perintah berkurung, malah turut memasak sendiri makanan untuk dibekalkan kepada pelajar dan rakyat Malaysia.

Menceritakan pengalaman itu, Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, berkata sebelum Ops Piramid bermula, pihaknya memikul tugas getir kerana terpaksa mengesan rakyat Malaysia yang tinggal di merata tempat di Mesir.

"Yang berdaftar dengan kita adalah mudah (untuk dikesan) tetapi untuk mencari mereka yang tidak berdaftar inilah yang sukar. Kita pula terpaksa berdepan dengan perintah berkurung yang menjadi halangan kita untuk bergerak," katanya.

Mohd Fakhrudin berkata keadaan itu memaksa warga kedutaan melanggar perintah berkurung demi mencari pelajar dan rakyat terbabit, dengan mengunjungi rumah-rumah persatuan dan anak negeri.

"Kalau macam pelajar perubatan senang nak kesan sebab persatuan aktif dan kerap berhubung dengan kedutaan berbanding pelajar (jurusan) agama yang berada berselerak, susah nak kenal pasti mereka," katanya.

Terdapat kira-kira 11,000 pelajar dan rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, manakala yang tidak berdaftar pula adalah sekitar 200 orang dan kebanyakan mereka datang menerusi ejen.

Mohd Fakhrudin berkata rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor swasta pula tidak diwajibkan mendaftar dengan kedutaan dan ini menyukarkan usaha mengesan mereka.

"Apa yang kita lakukan bagi mengesan kumpulan ini antaranya ialah mengadakankerjasama dengan Global Medic Network Sdn Bhd yang memberi perkhidmatan konsultansi kepada pelajar kerana mereka mempunyai rangkaian rapat dengan pihak tempatan," katanya.

Usaha itu, kata beliau, membuahkan kejayaan apabila ramai yang sebelum ini tidak dapat dikesan mula menghubungi kedutaan.

Mohd Fakhrudin berkata usaha mengesan itu yang digerakkan apabila krisis mula meruncing digandakan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan proses evakuasi menerusi Ops Piramid.

"Masalah timbul kerana usaha memberi maklumat menerusi telefon bimbit dan e-mel tidak dapat dilakukan sepenuhnya kerana ada masa perkhidmatan itu disekat, menyebabkan pegawai kita terpaksa ke asrama negeri atau kediaman mereka untuk memaklumkan mereka mengenainya," katanya.

Beliau berkata tugas warga kedutaan tidak terhenti di situ apabila mereka juga terpaksa memberi kemudahan penginapan dan makanan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

"Apabila kita dapat tahu ramai pelajar dan rakyat kita di airport, maka kita berusaha menghantar makanan. Tetapi yang menjadi kekangan ialah perintah berkurung menyebabkan banyak kedai tutup.

"Pukul 8 pagi baru kami boleh mencari barang dan kena masak sendiri makanan tersebut untuk diberikan kepada pelajar Malaysia. Sampai pernah ketika makanan yang kita bawa itu dirampas dalam sekatan jalan raya," katanya.

Mohd Fakhrudin berkata beban tugas itu akhirnya berkurangan apabila bantuan tenaga kerja dari Malaysia yang diketuai Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail tiba pada 29 Januari lepas.

Usaha mengeluarkan rakyat Malaysia dari negara itu ke Jeddah mula diatur menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Imigresen yang menghantar empat pegawainya dari Malaysia untuk menyediakan "pasport kecemasan" kepada segelintir rakyat Malaysia selain Malaysia Airlines dan AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia serta Tabung Haji.

"Dan pada 4 Februari lepas kumpulan pertama seramai 356 orang berjaya dikeluarkan," katanya.

Mohd Fakhrudin berkata 250 rakyat Malaysia memutuskan untuk tidak pulang ke Malaysia kerana ada antara mereka berkahwin dengan rakyat tempatan.

Sehingga Rabu, Ops Piramid telah membawa keluar 7,209 rakyat Malaysia dari beberapa bandar raya di Mesir ke Jeddah dan 1,439 orang telah dibawa pulang ke tanah air.

Kerajaan Arab Saudi turut membantu dengan menyediakan dua pesawat Boeing 747 milik Saudi Airlines bagi mempercepatkan proses membawa pulang rakyat Malaysia. 

- BERNAMA





credit to MYADHA :)






-- dah dah , jangan nak tempelak kerajaan dah lepas ni , appreciate sikit dudes !!--






   
      

No comments: